Enjoying your free trial? Only 9 days left! Upgrade Now
Home Explore KECELARUAN PERSONALITI
Like this book? You can publish your book online for free in a few minutes! Create your own flipbook
View in Fullscreen

KECELARUAN PERSONALITI

Published by azilahazizan, 2021-07-13 09:34:50

Description: KECELARUAN PERSONALITI

Read the Text Version

No Text Content!

KECELARUAN PERSONALITI DEFINISI Apa itu Kecelaruan Personaliti? Kecelaruan personaliti merujuk kepada kumpulan kecelaruan mental yang mempengaruhi cara anda berfikir, merasa dan bertindak. Personaliti merujuk kepada ciri-ciri yang tersendiri, gaya tabiat, dan corak yang menjadikan karakter atau individualiti kita. Ia boleh mempengaruhi cara kita mencerap dunia, sikap kita, pemikiran, dan perasaan. Kecelaruan personaliti boleh menyebabkan kesukaran dalam bersosial hatta bersama keluarga dan rakan. Ianya sukar bagi mereka untuk mencari apa yang boleh diambil kira sebagai perangai yang normal dan apa yang bukan. Kecelaruan personaliti boleh dibahagikan kepada kumpulan kecil yang mempunyai tingkah laku yang agak sama: •Kluster A: kecelaruan personaliti schizoid, kecelaruan personaliti paranoid, dan kecelruan personaliti skizotypal. •Kluster B: kecelaruan personaliti antisosial, kecelarun personaliti pinggiran, dan kecelaruan personaliti narsisistik. •Kluster C: kecelaruan personaliti menghindar, kecelaruan personaliti kebergantungan, dan kecelaruan personaliti obsesif kompulsif. APAKAH KEBARANGKALIAN KECELARUAN PERSONALITI? Keadaan kesihatan ini biasa berlaku. Ia biasanya terjadi pada wanita berbanding lelaki. Ia boleh mempengaruhi pesakit pada mana-mana usia. Kecelaruan personaliti biasanya muncul masa remaja dan berterusan sehingga dewasa. Anda boleh mengurangkan menghidap penyakit ini dengan mengurangkan faktor risiko. Sila berjumpa dengan doktor anda untuk maklumat lanjut. SIMPTOM-SIMPTOM Apakah simptom-simptom Kecelaruan Personaliti? Simptom biasa bagi kecelaruan personaliti adalah: •Ditenggelami perasaan negatif seperti putus asa, anzieti, rasa tidak berguna atau marah; •Mengelak dari orang lain dan merasa kosong dan terputus dari segi emosional; •Kesukaran mengurus perasaan negatif tanpa membahayakan diri (contoh, penyalahgunaan dadah dan alkohol, atau mengambil lebih dari dos) atau dalam kes yang nadir, mengancam orang lain; •Perlakuan aneh; •Kesukaran mengekalkan hubungan yang rapat dan stabil, terutamanya bersama pasangan, kanak-kanak dan penjaga professional; •Kadangkala, tempoh hilang hubungan dengan realiti. Bergantung dengan kecelruan yang anda hadapi dan kluster mana yang ianya tergolong, simptomnya mungkin berbeza: •Mereka yang di dalam kluster A kecelruan personaliti cenderung menghadapi kesukaran memahami orang lain dan biasanya menunjukkan pola kelakuan yang dianggap masyarakat aneh dan pelik. •Mereka di kluster B kecelaruan personaliti bergelut untuk mengaitkan dirinya dengan yang lain. Hasilnya, mereka menunjukkan pola perlakuan yang dianggap kebanyakan sebagai dramatik, tak menentu dan mengancam atau mengganggu. •Mereka di kluster C kecelaruan personaliti takut berhadapan hubungan bersifat peribadi dan menunjukkan corak kelakuan risau dan takut di sekeliling orang. Sesetengah mungkin menyendiri dan mengelak dari bersosial. Mungkin terdapat beberapa tanda atau simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor anda. Bila saya harus berjumpa doktor? Sekiranya anda mempunyai tanda atau simptom disenaraikan di atas atau mempunyai persoalan, sila berbincang dengan doktor anda. Setiap badan mempunyai reaksi berbeza. Adalah lebih baik sekiranya anda berbincang dengan doktor anda tentang solusi terbaik bagi situasi anda. PUNCA Apakah Punca Kecelaruan Personaliti? Ada banyak punca kecelruan personaliti. Ia boleh terbentuk melalui trauma atau peristiwa dramatik yang berlaku dalam kehidupan anda. Sesetengah saintis mencadangkan bahawa ianya mungkin berkaitan dengan ketidakseimbangan kimia di dalam otak, dan keadaan sekeliling hanya mencetuskan perubahan personaliti. Kecelruan personaliti mungkin juga berkaitan dengan genetik dan faktor keluarga. Pengalaman atau tekanan atau ketakutan semasa kecil boleh meningkatkan risiko kecelaruan personaliti. FAKTOR-FAKTOR RISIKO Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Kecelaruan Personaliti? Ada banyak faktor risiko bagi kecelruan personaliti, contohnya: •Mengalami peristiwa trauma; •Mengalami zaman kanak-kanak yang sukar, contohnya penderaan atau pengabaian; •Mengalami kecederaan otak; •Faktor genetik. DIAGNOSIS DAN RAWATAN Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut./strong> Bagaimana pesakit Kecelaruan Personaliti didiagnosis? Rujukan biasa bagi pengamal mental professional ialah The Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition (DSM-5), bagi penentuan masalah kesihatan mental. Doktor anda akan menemuraha anda dan ahli keluarga untuk mengetahui perlakuan dan membandingkan kriteria bagi setiap jenis kecelaruan. Mereka juga akan menanyakan peristiwa terdekat yang penting bagi anda atau memberi kesan pada emosi anda. Sejarah perubatan dan situasi hidup juga akan diambil kira di dalam diagnosis. Dalam beberapa kes, pengamal perubatan atau pengamal kesihatan mental mungkin akan melakukan ujian darah atau pengskrinan bagi alkohol dan dadah untuk menentukan kemungkinan punca masalah. BAGAIMANA PESAKIT KECELARUAN PERSONALITI DIRAWAT? Rawatan akan bergantung dengan anda, tetapi umummnya, ada beberapa cara rawatan yang mempunyai persamaan: •Psikoterapi: ada banyak jenis terapi (terapi perbincangan, terapi ringan, terapi berkumpulan, dll) bagi membantu anda mengurus emosi dan belajar mengawalnya. •Ubatan: tidak banyak ubatan bagi merawat kecelaruan personaliti. Beberapa ubatan mungkin membantu mendapatkan semula kestabilan hormon dan kimia otak, termasuklah: - Antidepressi, yang boleh memperbaiki kemurungan, marah, dan sifat impulsive. - Penstabil-mood, yang boleh memperbaiki perubahan angin dan mengurangkan sifat meragam dan sifat aggresif. - - Ubatan antipsikotik, juga dikenali sebagai neuroleptic, yang boleh bermanfaat bagi mereka yang selalu hilang arah dari realiti. - - Ubatan anti-anzieti, yang membantu mengurangkan anzieti, gangguan pemikiran, dan insomnia. PERUBAHAN GAYA HIDUP & RAWATAN SAMPINGAN Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Kecelaruan Personaliti? Gaya hidup dan rawatan sampingan mungkin membantu anda berhadapan dengan kecelaruan personaliti: •Mengambil ubatan seperti preskripsi doktor anda; •Berkomunikasi dengan keluarga dan rakan tentang keadaan anda, ini akan membantu mereka untuk lebih memahami anda; anda memerlukan sokongan kuat dari mereka untuk terapi rawatan. KECELARUAN PERSONALITI: APA YANG PERLU KITA TAHU? Dari segi statistik, dianggarkan kira-kira 9 sehingga 15 peratus dari penduduk dunia mempunyai masalah kecelaruan personaliti. – Unsplash ANTARA jenis kecelaruan mental yang jarang dibicarakan adalah kecelaruan personaliti atau „personality disorder'. Namun demikian, ia merupakan sejenis kecelaruan mental yang biasa ditemui oleh pakar psikiatri yang merawat masalah kecelaruan mental. Pernahkah anda terfikir atau bertemu dengan individu yang mempunyai cara pemikiran yang berbeza dengan kebanyakan orang lain? Atau pernahkan anda merasakan bahawa cara rakan anda mencerap sesuatu perkara, melihat sesuatu situasi, menangani masalah dan bertindak adalah tidak seperti yang sepatutnya dilakukan oleh seseorang yang berada dalam situasi yang sama? Ini mungkin disebabkan oleh kecelaruan personaliti yang dialami. Bagaimanapun, bukan mudah untuk mendiagnosis kecelaruan personaliti ini dibuat kerana sesorang individu itu perlu memenuhi kriteria tertentu untuk didiagnosis. NARSISISME : KECELARUAN PERSONALITI INDIVIDU DALAM KOMUNITI ALAF BAHARU Penulis, Lt Kdr Dr Abu Yazid Abu Bakar TLDM (B) ialah Pensyarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling/Psikologi), Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Isu kesihatan mental seperti kebimbangan serta kemurungan, yang lazimnya berpunca daripada tekanan yang melampau semakin mengancam bukan sahaja individu di negara maju, malahan juga di negara sedang membangun seperti Malaysia. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati bahawa seorang daripada tiga orang rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas terdedah kepada isu serta permasalahan berkaitan kesihatan mental. Hal ini berlaku kerana perkembangan arus pembangunan yang pesat meningkatkan lagi tekanan kehidupan dalam aspek ekonomi, sosial, dan kemasyarakatan. Selain daripada isu serta permasalahan kesihatan mental yang lazim diperkatakan ini, isu kewujudan personaliti narsisisme merupakan permasalahan baru yang dilihat semakin berleluasa dalam masyarakat Malaysia hari ini. Perkembangan pesat teknologi dan ledakan era media sosial semasa dilihat sebagai pemangkin kepada berkembangnya kecelaruan personaliti ini dalam kalangan masyarakat tempatan di segenap lapisan dan peringkat umur. Apa yang membimbangkan ialah isu kesihatan mental ini tidak dianggap sebagai masalah kerana ianya sering berlaku dalam keadaan di luar sedar ahli-ahli sesebuah komuniti, namun, impak kepada peningkatan jumlah individu narsisistik dalam masyarakat boleh memusnahkan nilai dan jati diri komuniti dalam jangka masa panjang. Narsisisme berakar umbi daripada cerita mitos Greek tentang seorang pemuda bernama Narcissus yang jatuh cinta kepada imej dirinya sendiri yang terbayang di atas kolam sehingga menghabiskan sebahagian besar masa hariannya di tepi kolam tersebut, dan akhirnya berubah menjadi sekuntum bunga di kolam tersebut (dinamakan sempena nama beliau). Berdasarkan cerita mitos ini, persepakatan dalam kalangan ahli psikologi mentakrifkan kecelaruan personaliti narsisisme sebagai kecenderungan seseorang individu untuk menilai diri sendiri secara berlebihan, di mana individu narsisistik dianalogikan sebagai seorang yang taksub atau terlalu mengagumi diri sendiri tanpa sebarang penjelasan yang rasional ataupun logik. Antara ciri utama seseorang individu yang berhadapan dengan masalah ini adalah rasa kepentingan diri sendiri yang melampau, keperluan untuk menerima perhatian dan disayangi yang keterlaluan, serta ketiadaan perasaan empati kepada orang lain yang ditunjukkan menerusi tingkah laku memperkecil dan mempersenda orang lain secara berlebih-lebihan. Lazimnya, individu narsisistik akan berasa kecewa apabila tidak diberi layanan yang dirasakan layak untuknya menyebabkan dia berhadapan dengan pelbagai masalah dalam perhubungan peribadi atau profesional. Dalam erti kata lain, konsep kendiri keterlaluan ini sering menimbulkan permasalahan budaya dan sosial sehinggakan ia dikategorikan sebagai masalah kesihatan mental oleh American Psychiatric Association (APA) dan disenaraikan dalam buku panduan „Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders‟ (DSM) sejak tahun 1968. Dianggarkan kecelaruan personaliti narsisisme mengancam satu (1) peratus daripada populasi umum dan dalam konteks Malaysia, lebih 300,000 warga tempatan daripada pelbagai latar belakang kehidupan dianggarkan berpotensi untuk mengalami kecelaruan mental ini tanpa disedari, dan ia terus meningkat kebelakangan ini. Oleh kerana gejala narsisisme merupakan isu kecelaruan personaliti individu dalam komuniti, ianya hanya boleh dikenal pasti melalui simptom atau tanda-tanda yang bersifat behavioural yang menunjukkan bahawa seseorang individu mula terganggu dengan kewujudan pelbagai tingkah laku, tabiat, atau kelakuan yang pelik dalam kehidupan seharian. Antaranya adalah perasaan cemburu melampau terhadap orang lain dan dalam masa yang sama percaya orang lain amat cemburukan dirinya, bertingkah laku sombong atau ego yang keterlaluan sehingga memandang rendah terhadap orang lain, tidak boleh mengendalikan kritikan terhadap dirinya dengan rasional serta mengharapkan sentiasa diiktiraf dan dihargai walaupun tanpa keupayaan atau bakat yang memadai. Individu ini juga sering berfantasi tentang sesuatu kejayaan, kuasa, atau kecantikan, sentiasa mendambakan yang terbaik untuk diri sendiri (sebagai contoh, kereta, ruang pejabat, atau pasangan yang sempurna), serta ketidakmampuan untuk menghargai keperluan dan perasaan orang lain yang diterjemahkan melalui sikap suka memperlekeh dan memanipulasi orang lain yang dianggap tidak sesempurna atau sebaik dirinya. Individu narsisistik lazimnya tidak akan mengganggap dirinya bermasalah, malahan akan menuding jari kepada orang lain apabila timbul sesuatu isu berkaitan tingkah laku kendirinya. Selain itu, individu yang mengalami kecelaruan ini juga sering berhadapan dengan kesukaran untuk mengakui kesilapan diri sendiri, di samping bermasalah untuk meminta maaf atau menerima permohonan maaf daripada orang lain. Natijahnya, individu narsisistik sering memberitahu dirinya sendiri bahawa dia adalah yang terbaik dalam segala hal berbanding orang lain walaupun hakikat atau realiti yang sebenar adalah „jauh panggang dari api‟. Kecelaruan personaliti ini juga tidak dapat dikenal pasti secara tuntas tentang puncanya yang kompleks. Namun, majoriti pakar bersependapat bahawa ianya berkemungkinan dicetuskan oleh faktor-faktor persekitaran, genetik, dan neurobiologi. Dalam hal ini, andaian bahawa kombinasi gaya didikan ibu bapa (ibu bapa yang menyokong atau mengkritik anak-anak secara berlebih- lebihan semasa kecil), ciri yang diwarisi, serta hubung kait antara kapasiti otak dan gaya berfikir/bertingkah laku merupakan faktor kritikal yang menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan mental ini dalam masyarakat. Sebagai contoh, ibu bapa yang terlalu menurut atau memanjakan anak secara keterlaluan terutama dalam aspek pembinaan sahsiah dan kebendaan akan mengakibatkan anak itu membesar dengan kecenderungan tinggi untuk menjadi ahli masyarakat yang narsisistik. Dalam hal ini, senario spoiled brats yang merujuk kepada kewujudan golongan “anak-anak manja” yang berhadapan pelbagai masalah dalam kehidupan (walaupun usia melewati peringkat dewasa dan matang) merupakan satu ilustrasi kukuh kepada pembinaan ciri personaliti narsisistik yang dimangkin oleh faktor salah gaya didikan ibu bapa. Selain itu, perubahan gaya hidup yang drastik dalam konteks sosioekonomi dan kemasyarakatan juga berpotensi menyumbang kepada peningkatan kelompok individu narsisistik dalam komuniti. Sebagai contoh, perubahan geo-politik atau landskap ekonomi masyarakat yang turut mengubah status quo segelintir ahli komuniti secara tiba-tiba berkemungkinan melahirkan lebih ramai individu narsisistik yang egois dan bermasalah komunikasi dalam interaksi sosial seharian. Oleh kerana ia berlaku di luar sedar dan mengancam semua lapisan, setiap dari kita boleh berhadapan dengan isu kecelaruan mental ini tanpa mengira profesion, umur atau status yang dipegang dalam komuniti. Sebagai illustrasi, seorang pemimpin masyarakat yang bersifat narsisistik akan tampil angkuh dalam pembuatan keputusan kerana sentiasa beranggapan dirinya sahaja yang betul manakala orang lain semuanya salah. Sebagai warga pendidik di pelbagai peringkat pula, individu narsisistik boleh diibaratkan sebagai „ketam yang mengajar anaknya berjalan betul‟ dalam proses mendidik dan membentuk generasi muda kerana hakikat sebenar adalah diri mereka sendiri yang hipokrit dan tidak sesenonoh mana pun personalitinya. Justeru, berhati-hatilah apabila kita mula kerap menggunakan pernyataan kendiri yang keterlaluan serta sering berkecenderungan memperkecilkan orang lain (sebagai contoh, aku ada PhD kau ada diploma je…., aku seorang je yang boleh buat benda ni, orang lain tau apa…., atau aku betul, aku tak perlu minta maaf…), kerana kita mungkin sudah mula diancam kecelaruan personaliti narsisisme tanpa kita sedari. Satu-satunya bentuk rawatan yang disaran untuk membantu individu yang berhadapan dengan masalah kecelaruan mental luar sedar ini adalah terapi bercakap atau perkhidmatan kaunseling secara terancang. Sehubungan itu, dapatkanlah bantuan sekiranya memerlukan agar kesedaran masyarakat umum di Malaysia tentang isu-isu kesihatan mental wajar dipertingkatkan dan kesejahteraan komuniti dapat dipelihara secara menyeluruh sepertimana digagaskan kerajaan pada era Malaysia baharu ini. RAMAI KECELARUAN PERSONALITI? SAUDARA PENGARANG, KAJIAN Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati bahawa seorang daripada tiga rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas terdedah kepada isu dan permasalahan berkaitan kesihatan mental. Hal ini berlaku kerana perkembangan arus pembangunan pesat meningkatkan lagi tekanan kehidupan dalam aspek-aspek ekonomi dan sosial. Kesedaran masyarakat tentang isu-isu kesihatan mental wajar dipertingkatkan agar kesejahteraan komuniti secara menyeluruh dapat dipelihara.Selain isu kesihatan mental, isu personaliti narsisisme adalah permasalahan baharu yang dilihat semakin berleluasa dalam masyarakat hari ini. Apa yang membimbangkan, ia tidak dianggap sebagai masalah kerana sering berlaku dalam keadaan luar sedar ahli-ahli komuniti. Namun, impaknya boleh memusnahkan nilai dan jati diri komuniti dalam jangka masa panjang. Kecelaruan personaliti narsisisme ditakrifkan sebagai kecenderungan seseorang individu menilai diri sendiri secara berlebihan selain rasa kepentingan diri sendiri yang melampau, mahukan lebih perhatian dan disayangi secara keterlaluan serta tiada perasaan empati kepada orang lain. Lazimnya, individu ini akan berasa kecewa apabila tidak diberi layanan yang dirasakan layak untuknya menyebabkan dia berhadapan dengan pelbagai masalah dalam perhubungan peribadi atau profesional. Dianggarkan, kecelaruan personaliti narsisisme mengancam satu peratus daripada populasi umum dan dalam konteks Malaysia, sekitar 300,000 warga tempatan berpotensi mengalami kecelaruan ini tanpa disedari. Antara tandanya ialah mempunyai perasaan cemburu melampau terhadap orang lain dan pada masa sama percaya orang lain amat cemburukan dirinya. Mereka bertingkah laku sombong keterlaluan sehingga memandang rendah orang lain, tidak boleh mengendalikan kritikan terhadap dirinya dengan rasional, mengharapkan sentiasa dihargai walaupun tanpa keupayaan bakat. Mereka juga sering berfantasi tentang sesuatu kejayaan, kuasa atau kecantikan, sentiasa mendambakan yang terbaik untuk diri sendiri dan ketidakmampuan untuk menghargai perasaan orang lain dengan suka memperlekeh dan memanipulasi orang lain. Individu narsisistik tidak menganggap dirinya bermasalah, malah akan menuding jari kepada orang lain apabila timbul sesuatu isu berkaitan tingkah lakunya. Kecelaruan personaliti ini juga tidak dapat dikenal pasti puncanya, namun majoriti pakar bersependapat bahawa ia berkemungkinan dicetuskan oleh faktor-faktor persekitaran, genetik dan neurobiologi. Dalam hal ini, andaian bahawa kombinasi gaya didikan ibu bapa (ibu bapa yang menyokong atau mengkritik anak-anak secara berlebih-lebihan semasa kecil), serta hubung kait antara kapasiti otak dan gaya berfikir atau bertingkah laku merupakan antara faktor-faktor kritikal. Selain itu, perubahan gaya hidup drastik dalam konteks sosioekonomi dan kemasyarakatan juga berpotensi menyumbang peningkatan kelompok individu ini. Bentuk rawatan yang disarankan untuk membantu individu ini adalah terapi bercakap (talk therapy) atau perkhidmatan kaunseling. DR. ABU YAZID ABU BAKARPensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) BERSAMA PSIKOLOGIS - KECELARUAN PERSONALITI NARSISTIK Utusan Malaysia | 23/04/2017 | BERSAMA PROF. MADYA DR. HAIRUL ANUAR HASHIM SIFAT seperti pemurah, penyayang, pemarah, pesimis, sombong dan bongkak, sering digunakan untuk merujuk kepada personaliti seseorang. Personaliti boleh dirujuk sebagai ciri-ciri keseluruhan individu yang membuatkan dirinya unik dan berbeza daripada individu lain. Personaliti yang dimiliki seseorang mempengaruhi aspek perhubungan sosial seseorang individu. Seorang yang pemurah dan penyayang cenderung untuk disukai oleh orang-orang lain di sekeliling. Sebaliknya, keperibadian yang negatif seperti bongkak dan sombong cenderung untuk menyebabkan kebencian orang. Dalam kehidupan seharian, setiap individu perlu berhubung dengan orang lain dalam menjalani fungsi kehidupan sama ada dalam aspek pekerjaan mahupun aspek sosial. Interaksi sosial dengan individu yang mempunyai keperibadian yang negatif cenderung untuk menyebabkan ketidakselesaan. Setiap individu dan orang di sekeliling mereka mempunyai kepelbagaian personaliti dan sikap. Salah satu personaliti yang cenderung untuk mencetuskan perasaan tidak menyenangkan adalah personaliti narsistik. Ia merujuk kepada kecenderungan seseorang yang suka mencari perhatian, membangga diri, sentiasa berfikir tentang kelebihan diri dan suka mendapat pujian yang berlebihan. Mereka juga cenderung untuk bersikap bongkak dan suka memandang rendah terhadap orang lain dan suka mengambil kesempatan ke atas orang lain untuk kepentingan peribadi. CIRI-CIRI KECELARUAN PERSONALITI NARSISTIK Menurut Buku Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders edisi kelima, ciri-ciri kecelaruan personaliti narsistik adalah; • Memperbesarkan kepentingan diri. • Mengharap pengiktirafan tinggi walaupun tanpa pencapaian yang setara. • Memperbesarkan bakat dan pencapaian diri. • Terlalu memikirkan berkenaan kejayaan, kuasa, kecerdikan, kecantikan atau pasangan yang sempurna. • Percaya bahawa mereka lebih daripada orang lain dan cuma boleh difahami oleh mereka yang setara. • Mengharap pujian yang berterusan. • Mengharap layanan istimewa dan tidak dipersoalkan. • Mempergunakan orang lain untuk mendapatkan apa yang dikehendaki. • Mempunyai ketidakupayaan atau keingininan untuk mengiktiraf keperluan dan perasaan orang lain. • Cemburu dengan orang lain dan percaya orang lain mencemburui dirinya. • Bersikap sombong dan bongkak. Individu narsistik lebih mudah dikenal pasti dalam kalangan mereka gemar untuk bersosial dan bersikap terbuka. Namun, ia juga ia juga wujud dalam kalangan mereka yang introvet, iaitu mereka yang pemalu, pendiam dan gemar bersendirian. Kedua-dua jenis narsistik terbuka atau tersembunyi ini mempunyai perbezaan dalam manifestasi corak pemikiran dan tingkah laku mereka. Namun, satu persamaan antara kedua-duanya adalah usaha untuk menunjukkan kehebatan bagi menyembunyikan kelemahan dalaman mereka. Manifestasi gangguan personaliti ini boleh dilihat dalam pelbagai aspek peribadi seseorang seperti konsep imej diri, etika dan moral, tahap piawai diri, dan juga bentuk pemikiran mereka. Dalam aspek imej diri, individu yang memiliki personaliti narsistik berkecenderungan untuk mempunyai persepsi kemegahan dan dihantui dengan fantasi berkenaan kejayaan diri. Realitinya, mereka cenderung untuk mempunyai rasa rendah diri dan dan perasaan malu yang tinggi dan sensitif terhadap kritikan. Bermegah-megah, memperkecilkan orang lain, dan mengangkat diri secara berlebihan memberi kepuasan bagi diri mereka dan memenuhi persepsi bahawa mereka lebih baik daripada orang lain. Dalam aspek perhubungan sosial, narsistik sukar untuk terlibat dalam dalam aktiviti berkumpulan. Selain itu, mereka juga cenderung untuk mempunyai iri hati yang tinggi, tidak mengambil berat terhadap perbezaan generasi dan cenderung untuk tidak menghormati orang lain. Kesan kecenderungan untuk merasa diri lebih dari orang lain ini, narsistik cenderung untuk mempunyai tahap etika dan moral yang rendah. Mereka bersedia untuk menukar nilai dan prinsip bagi mendapat kelebihan, dan bersedia untuk menipu untuk dilihat lebih baik dari orang lain. Memanipulasi maklumat dan pemikiran orang agar diri dilihat sebagai mangsa keadaan juga merupakan satu kecenderungan bagi individu narsistik. Semua gangguan psikologi cenderung untuk menjejaskan fungsi kehidupan seseorang. Bagi kecelaruan narsistik, rawatan berkisar sekitar aspek hubungan sosial yang lebih positif dan memahami corak pemikiran dan emosi diri. Ini termasuk belajar untuk menjalinkan hubungan sosial dan kerjasama dengan orang lain, menerima tahap kemampuan diri yang sebenar, belajar mengawal emosi, bertolak ansur dengan diri sendiri, menerima ketidakcekapan diri dan belajar untuk menerima apa apa yang dicapai dan apa yang tidak dapat dicapai sebagai satu perkara yang normal dalam kehidupan. KECELARUAN PERSONALITI PUNCA JENAYAH KEJAM KEHILANGAN Nurin Jazlin Jazimin, 8, sejak September lalu hingga penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan yang hasil ujian DNA mengesahkan mayat itu adalah Nurin menggemparkan pelbagai pihak. Walaupun timbul kontroversi mengenai identiti mayat itu, penemuan mayat itu sudah cukup menakutkan. Mengimbas tempoh 10 tahun lalu, kejadian jenayah membabitkan kanak-kanak sebagai mangsa amat membimbangkan, terutama apabila mereka bukan setakat dirogol , tetapi dibunuh dengan cara kejam. Adakah dunia tidak lagi selamat untuk kanak-kanak? Ikuti temu bual wartawan Berita Minggu bersama pakar perunding psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Osman Che Bakar dan penganalisis jenayah, Dr Kamal Affendi Hashim mengenai isu ini. Apakah yang menyebabkan ada penjenayah yang sanggup bertindak kejam terhadap kanak-kanak yang sepatutnya disayangi dan dilindungi. Penjenayah yang bertindak tidak rasional selalunya adalah individu yang mempunyai masalah kecelaruan personaliti. Mereka tidak mempunyai perasaan kasihan, hilang pertimbangan dan tidak mempunyai kawalan impuls. Dia akan melakukan apa yang hendak dibuat. Dalam keadaan sangat marah, dia bertindak tanpa memikirkan mangsa dan akibat perbuatan itu. Orang yang melakukan jenayah begini mempunyai personaliti antisosial. Ada juga yang mempunyai masalah psikiatrik teruk seperti skizofrenia. Dalam keadaan tidak stabil dan sakit, dia mempercayai perkara yang tidak betul dengan bersungguh-sungguh. Dalam satu kes di Hospital Tanjung Rambutan, pesakit nampak anaknya seperti batang pisang. Dia mendengar suara bahawa yang pulang bukan anaknya, tetapi batang pisang yang perlu dicincang supaya syaitan tidak memasuki rumahnya. Dalam keadaan itu, dia mengambil parang dan mencincang anaknya. Kita melihat kejadian itu sebagai kejam, tetapi dia adalah pesakit yang berada di luar kawalan. Ada juga sesetengah kes pesakit berada di bawah kawalan jenis dadah tertentu. Dia akan hilang pertimbangan dan dalam keadaan marah atau diejek, dia juga boleh melakukan jenayah kejam. Selain itu, ada kes individu yang mempunyai tahap pemikiran rendah yang juga boleh hilang pertimbangan dan melakukan jenayah. Bagaimanapun, keadaan ini mungkin berlaku kepada orang yang normal apabila dendam terlalu kuat. Katakan seorang pembantu rumah yang selalu didera majikan. Dia tidak boleh membalas dendam terhadap majikannya dan bertindak kejam terhadap anak majikan. Sesetengah penjenayah bertindak terhadap kanak-kanak yang mempunyai kaitan dengan individu yang dia marah atau geram pada masa lampau. Kesimpulannya, kita tidak boleh menyatakan penjenayah yang menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran berdasarkan satu sebab. Keadaan mungkin kompleks kerana ada kemungkinan hasil interaksi banyak perkara. Mungkin penjenayah itu memang otaknya kurang waras dan kemudian ada kejadian masa lampau yang bergabung menyebabkan dia melakukan jenayah. Kanak-kanak perempuan menjadi sasaran. Apakah kategori penjenayah begini. Kanak-kanak perempuan, berbanding lelaki lebih lemah, mudah dipujuk rayu, mudah ditipu dan kadang-kadang mangsa sendiri ada kelemahan tertentu seperti mudah dipujuk dan dibawa berjalan. Kita tidak boleh kata semua kes begitu, mungkin ibu bapa sendiri kurang memberi kasih sayang dan kurang memberi hadiah. Apabila ada orang lain yang memujuk dan memberi hadiah, kanak-kanak begini akan mudah tertarik. Bagi kes yang membabitkan penderaan seksual, ada kemungkinan penjenayah hendak melepaskan nafsu. Dia tidak mampu melakukan perkara itu kepada orang dewasa dan menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa. Ada kajian menunjukkan penjenayah yang melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak perempuan biasanya mempunyai masalah seksual. Individu yang lemah tenaga batin ini tidak mampu berfungsi apabila melakukan hubungan seksual dengan wanita dewasa. Terhadap kanak-kanak, dia tidak malu berbanding berasa kalah kepada wanita dewasa apabila mengalami keadaan seperti ejakulasi pramatang. Persoalannya mengapa perlu dibunuh dengan kejam seperti ada kes merodok kemaluan mangsa dengan kayu. Selain melepaskan hawa nafsu, dia mungkin mempunyai masalah skizofrenia atau di bawah kawalan dadah atau kecelaruan personaliti. Persoalan timbul mengapa perlu dibunuh. Mungkin dia panik dan takut mangsa mengadu kepada ibu bapanya dan membuat laporan polis. Secara logik, penjenayah akan menyembunyikan bukti pembunuhan, tetapi dalam kes terbaru, mangsa yang dibunuh disimpan dalam beg dan ditinggalkan di tempat tumpuan orang ramai. Ada penjenayah tidak begitu pandai. Dia menyangka mangsa yang disimpan dalam beg dan tidak dibuka, lama-kelamaan bukti itu akan hilang begitu saja. Bagaimanapun, dia tidak terfikir pengesanan bukti seperti DNA. Dalam kes profil tinggi yang penjenayah khuatir orang lain akan tahu, bukti akan dihilangkan dengan cara seperti letupan. Bagaimanapun, ini tidak berlaku dalam kes ini. Mungkin dia mempunyai masalah psikiatrik dan tidak terfikir perkara seperti itu. Mungkin dia ingat selepas dipotong, suara mengarahnya buat begitu. Ini juga boleh berlaku. Kita tidak tahu lagi, banyak kemungkinan. Bolehkah kita mengenal pasti individu berpotensi menjadi penjenayah yang mensasarkan kanak-kanak, terutama perempuan sebagai mangsa. Kita tidak boleh kenal kalau jumpa di tepi jalan. Bagaimanapun, kalau kita mengenali dia dalam tempoh agak lama, selalunya mereka mempunyai sejarah masa lampau. Dulu mungkin setakat pegang- pegang atau raba-raba. Kita kena ambil keadaan sikit-sikit itu sebagai tanda. Sesetengah masalah berpunca akibat sikap kita mengambil ringan, terutama apabila membabitkan anggota keluarga. Ada juga sesetengah pesakit yang mencuba tiga atau empat kali, mengganggu adik atau mengintai emak, tetapi kita tidak mahu cerita kerana malu. Kalau kita tahu lebih awal, orang begini mempunyai potensi untuk bertindak lebih jauh. Sama ada boleh dirawat atau tidak, ini bergantung kepada diagnosis. Penyakit seperti skizofrenia, boleh dikawal dengan mengambil ubat. Bagaimanapun jika membabitkan kecelaruan personaliti, keadaan susah sikit kerana mereka tidak makan saman. Mereka ini adalah seperti sesetengah penjenayah yang berada dalam penjara. Keluar masuk penjara, perangainya tetap sama. Kecelaruan personaliti berada dalam kumpulan penyakit psikiatrik, tetapi tidak diklasifikasikan sebagai penyakit psikiatrik serius seperti skizofrenia dan kemurungan teruk. Individu kecelaruan personaliti kelihatan sama seperti orang biasa dan kadang-kadang pandai berlakon seperti nampak baik, pandai berpura-pura dan memujuk rayu tetapi mempunyai niat buruk. Ini menunjukkan kes jenayah kejam membabit kanak-kanak bukan dilakukan pesakit mental, tetapi lebih kepada kecelaruan personaliti. Majoriti disebabkan kecelaruan personaliti, berbanding penyakit psikiatrik. Antara punca kecelaruan personaliti berlaku adalah kerana ada integrasi kompleks antara genetik dan persekitaran. Dari segi genetik, dia memang begitu tetapi persekitaran memberi sumbangan seperti penjenayah dilahirkan dalam keluarga berpecah belah seperti bapa ketagih dadah, judi dan alkohol. Ada juga ibu bapa menggunakan cara terlampau keras dan tidak normal untuk mendisiplinkan anak seperti memukul, tendang dan menghantuk kepala ke dinding. Individu begini mungkin trauma sejak kecil dan tidak boleh belajar cara yang normal serta erti hormat dan kasihan terhadap orang lain. Apabila dewasa, dia pula buat terhadap orang lain. Banyak kes kecelaruan personaliti begitu. Bagaimana hendak mengenali individu yang kecelaruan personaliti? Kehidupan mereka adalah seperti biasa. Bagaimanapun, antara ciri mereka ialah mempunyai rekod kerja buruk seperti selalu tidak datang kerja datang lambat, selalu mengambil sijil sakit (MC), tidak ikut peraturan, tidak mempunyai perasaan bersalah jika melanggar peraturan, bercakap bohong, tidak amanah, bergaduh dengan orang lain dan perhubungan dengan jiran buruk. Individu begini bukan saja tidak mempunyai perasaan belas kasihan terhadap manusia, malah binatang. Ini yang menyebabkan mereka tidak teragak-agak menyepak haiwan peliharaan. Dia suka mengambil kesempatan dan tidak mempunyai perasaan bersalah. Ramai individu begini terbabit dalam penagihan dadah, alkohol dan perhubungan seks tanpa nikah. Orang begini selalu merosakkan rumah tangga, mendera isteri dan anak. Adakah perubahan sosial turut membantu melahirkan penjenayah kejam. Perubahan sosial dan cara kehidupan kita memang memberi sumbangan terhadap masalah ini. Kehidupan moden lebih tertekan dan ibu bapa kurang masa untuk anak kerana tuntutan kehidupan lebih mendesak. Setakat gaji RM1,000 hingga RM2,000 tidak mencukupi di Kuala Lumpur menyebabkan terpaksa kerja siang dan malam. Anak pula dijaga oleh orang lain. Ini ditambah pula dengan pengaruh media massa dan internet yang memudahkan akses ke laman porno. Semua ini adalah kesan sampingan pembangunan pesat. Adakah seperti dalam masyarakat Barat yang wujud kelompok yang sukakan melakukan seks dengan kanak-kanak menular ke negara ini. Sejak dulu keadaan memang begini, tetapi jumlah penduduk negara semakin ramai. Ini menyebabkan semakin ramai individu yang bermasalah kecelaruan personaliti dan kecewa. Sebenarnya tidak ramai menghadapi masalah ini, tetapi apabila bilangan penduduk meningkat, bilangan mereka juga bertambah. Apakah aspek kemahiran keibubapaan boleh membantu mencegah kejadian jenayah membabitkan kanak-kanak? Kita boleh meminimumkan risiko. Membentuk keluarga harmoni, itu adalah antara langkah pertama. Langkah kedua, memberi pendidikan agama kepada anak sejak kecil dan selalu memberi keutamaan kepada aspek keselamatan. Kadang-kadang kesibukan menyebabkan kita cuai dan bersikap tidak mengapa. Kita mesti selalu berhati-hati dan mengingatkan anak-anak supaya tidak mudah mengikut orang. Kesimpulannya, kita perlu menetapkan apa yang boleh dan tidak boleh buat. Sesetengah ibu bapa tidak kisah, hendak main, mainlah. Kita mungkin tidak bercakap dari segi seksual, tetapi pada umur enam dan tujuh tahun, kita sudah boleh menasihat supaya balik rumah pada waktu ditetapkan, balik bersama-sama kawan dan melalui jalan yang ramai orang dan bukan jalan pintas yang sunyi. Pada peringkat remaja, kita boleh bercakap mengenai seksual seperti perhubungan antara lelaki dan perempuan. Dari satu segi, pendidikan seks yang hendak diperkenalkan di sekolah adalah langkah yang positif kerana apabila disebut pendidikan seks, orang terus membuat kesimpulan sebagai perhubungan seks, sedangkan pendidikan seks boleh mengajar mengenai naluri manusia dan perkembangan fizikal. Secara umum, ada sesuatu yang tidak kena dalam keluarga kanak- kanak yang menjadi mangsa seperti ibu bapa terlampau sibuk, cuai, mudah mengambil risiko. Ada juga kes yang bersifat kebetulan seperti terlalu sibuk beli-belah hingga anak hilang. Dalam keluarga harmoni, jarang anak akan terbabit dalam masalah begini. Jika ibu bapa selalu bercakap kasar dan apabila ada orang yang mempunyai niat jahat bercakap dengan baik untuk memujuknya, kanak-kanak menganggap penjenayah sebagai ikhlas. RUJUKAN https://hellodoktor.com/kesihatan-mental/kesihatan-mental- lain/kecelaruan-personaliti/ https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kecelaruan- personaliti-apa-yang-perlu-kita-tahu-252794 blis.bernama.com/index.php?mod=articles&opt=la&cid=1&scid=9&ai d=7971051 blis.bernama.com/index.php?mod=articles&opt=la&cid=2&scid=15&a id=7671118 blis.bernama.com/index.php?mod=articles&opt=la&cid=2&scid=15&a id=7505204 blis.bernama.com/index.php?mod=articles&opt=la&cid=2&scid=22&a id=3542649 blis.bernama.com/index.php?mod=articles&opt=la&cid=2&scid=15&a id=2480391 blis.bernama.com/index.php?mod=articles&opt=la&cid=2&scid=15&a id=6732818 blis.bernama.com/index.php?mod=articles&opt=la&cid=2&scid=11&a id=2320200 DI SEDIAKAN OLEH : BAHAGIAN RUJUKAN PERPUSTAKAAN AWAM BALING