in

Lelaki Amuk Serang Orang Awam Di Pusat Beli Belah Korea Selatan, 14 Orang Cedera

Insiden Tikaman Korea Selatan

14 orang dilaporkan cedera di Korea Selatan selepas insiden serangan oleh seorang lelaki yang bertindak mengamuk menggunakan kenderaan sebelum menyerang orang ramai menggunakan pisau di sebuah pusat membeli belah di Seongnam.

Menurut laporan agensi berita Yonhap, lelaki yang dikenali sebagai Choi berkenaan berusia 20 tahun dan telah melanggar pejalan kaki di luar bangunan di Bundang berkenaan sebelum bertindak untuk menyerang pengunjung yang sedang membeli belah menggunakan pisau.

Serangan tersebut mengakibatkan 14 orang mengalami luka dengan 12 daripadanya kategori kritikal dan 2 daripada mangsa dilaporkan masih dirawat di unit rawatan rapi dan berkemungkinan mengalami brain dead.

Aen20230804002300315 01 I P2

Secara keseluruhan, 9 daripada mangsa cedera dalam insiden tikaman manakala 5 lagi akibat dilanggar oleh Choi yang kemudiannya telah ditahan di tempat kejadian untuk siasatan lanjut.

Menurut kemaskini terbaharu insiden, suspek tidak menghabiskan pelajaran kerana mengalami fobia sosial dan selepas itu disahkan menghidap gangguan personaliti skizoid lapor penyiasat.

Dalam pada itu, Choi disahkan oleh pihak polis mengalami khayalan penganiayaan, bercakap tidak jelas semasa sesi soal siasat dan mendakwa terdapat sesetengah orang yang mengekorinya dan ingin membunuhnya. Namun begitu, ujian dadah pantas yang dijalankan ke atasnya menunjukkan hasil negatif.

Screenshot 2023 08 04 102025

Agensi Polis Wilayah Gyeonggi Nambu yang mengendalikan kes itu berkata bahawa suspek telah mengalami penyakit mental sejak zaman sekolah menengahnya dan dia telah menunjukkan gejala khayalan penganiayaan semasa siasatan.

Berdasarkan kenyataan Choi tersebut, pihak polis mengesyaki kompleks penganiayaan dan penyakit mental lain adalah punca kepada insiden berkenaan.

Menurut apa yang diberitahu kepada pihak polis oleh Choi dan keluarganya, dia sering berada di rumah setelah berhenti dari sekolah. Selain itu, dia juga berkerja separuh masa di syarikat perkhidmatan penghantaran sebagai penghantar.

Pun begitu, pihak polis bercadang untuk menjalankan satu lagi pusingan siasatan ke atas Choi untuk mencari motif sebenar tindakannya tersebut dan mendapatkan waran tangkap untuknya. Polis juga merancang untuk meneliti sejarah penyakit mental dan rawatannya.

Baca : Sunyi Sepi! Itaewon Tak Meriah Lagi Pada Musim Hujung Tahun Lepas Insiden Halloween

Itaewon Sunyi

Sumber: Yonhap
Sumber: Twitter